Monday, March 12, 2012

Bunohan.. Dalam suatu pertembungan, siapa yang akan menang?


Filem ini cantik serba serbi. Aku meletakkan filem ini dalam liga teratas filem Melayu. Ia mengangkat isu yang tidak mahu diangkat oleh pembikin filem lain. Dan dalam cara yang tidak membosankan (bergantung apa itu ‘bosan’ bagi anda).

Secara keseluruhan, Bunohan adalah sebuah filem tentang pertembungan. Latar filem, hampir semuanya di kawasan paya dan pantai.

Paya bakau tempat air tawar dan air masin bertembung, menjadi tempat bertembungnya perasaan berbeza-beza dari suatu watak, terutamanya Ilham. Personaliti yang berbeza rasa, walaupun dari tubuh seorang manusia yang sama. (Tak mahu hurai lebih panjang. Nanti karang jela jela, tak ada orang nak baca).



Pantai adalah tempat darat dan laut bertembung . Seperti ini jugalah, sekeping tanah Mek Yah di pinggir pantai menjadi tempat pertembungan banyak perkara. Kawasan perkuburan di atas tanah Mek Yah, menjadi tempat pertembungan alam hidup dan alam mati. Mek Yah hidup dalam dua alam ini yang bercampur baur: tidak lagi hidup, tetapi belum lagi mati. Kerana itu pentingnya binaan rumah usang Mek Yah, juga di kawasan itu. Rumah itu cuma ada tangga dan penyangga, tapi rumahnya kita tidak nampak. Mek Yah, tidak ada di dalam kubur, dan tak ada di alam kematian, sebaliknya dia tinggal di dalam alam yang tidak kita nampak, tetapi sentiasa keluar masuk ke alam nyata melalui tangga penghubung dua alam, utk melihat orang2 kesayangannya.



Pinggir pantai juga menjadi tempat bertembung amalan tradisi dan desakan kemodenan. Seawal-awal cerita, kita dapat lihat amalan org memuja semangat Main Puteri dan kelir Pok Heng yang tertoreh, ‘bertembung’ dengan Bakar dan ‘kawan-kawannya’ yang membawa masuk pembangunan. Pembangunan ini menolak amalan tradisi sehingga ia hilang tempat. Setiap kali Bakar pujuk tanah itu dijual, Pok Heng berkeras untuk tak menjual. Sbb cuma tanah itu sahaja yg tinggal, buat dia dan buat Mek Yah. Agak menyentuh bila melihat primadona Mak Yong dan tok dalang Wayang Kulit, akhirnya terhimpit untuk mendapat tempat di Kampung Bunohan: Mek Yah sehingga terpaksa menjelma jadi buaya, Pok Heng sendiri ‘hilang pentas’, mendirikan kelir di atas sekangkang tanah miliknya. Bukan dia tak tahu siapa yang akan menang di akhirnya, tapi degilnya itu lah maruah dia. Sebab dia tahu, dia memang Tok Dalang untuk kelirnya, tapi dia cuma watak di atas kelir Bakar.



Hubungan manusia dan alam dalam cerita ini diceritakan secara tersirat. Pantai dan paya di dalam filem ini tak ada bot-bot mewah, tak ada rumah cantik-cantik di sebelahnya , tak ada juga batu-batu besar yang menjadi tempat suami isteri main ‘sorok-sorok’ dan ‘merajuk-merajuk’, lalu akhirnya menjadi tempat peluk dan senggama mereka. Pantai dan paya hanya menjadi tempat kubur, tempat kelir, tempat puja semangat, tempat kotor, tempat gocoh, tempat bunuh, tempat marah, tempat terkilan, tempat kasihan, tempat berpisah, dan tempat mati untuk watak-watanya. Tapi, menonton semua ini, tetap membuat aku tersentuh secara separa sedar sehingga masih berbekas sampai sekarang.

Haloba Bakar, keterkilanan Adil, dendam dan rajuk Ilham, dan sesal Pok Heng, akhirnya bertembung, menjadi suatu kisah di atas kelir wayang ‘Bunohan’.

Bunohan juga membawa nilai ‘sempadan’. Pertembungan yang berlaku di sempadan. Tapi untuk membincangkan benda ini lebih dalam, nanti akan lebih panjang. Jadi, cuma dicuit sedikit sedikit. Lihat bagaimana 'kedai kopi konspirasi’ itu, sebenarnya terletak betul-betul di hadapan sempadan Bunohan (boleh dilihat ketika Ilham turun dari bas, berhadapan kedai itu). Semasa awal cerita, Bunohan sudah menyatakan ‘Ini adalah sempadan, tmpat realiti dan fiksi bertembung'; Kaca tv menyiarkan video, berlatar belakangkan suara pelanggan yang berkata ‘ini Faizal Hussein, itu Zahiril Adzim, itu pula Pekin’, sedangkan yang terpapar di tv itu tak lain tak bukan adalah watak-watak yang mereka kenal, yang boleh dilihat di kampong itu sendiri dalam pakaian mereka: Ilham, Adil, dan Bakar. Juga Bunohan terletak di sempadan Thailand, yang berlaku pertembungan penyerapan budaya(tomoi). Kedai konspirasi juga sempadan, sempadan kemodenan dan tradisi. Lihat adegan iphone, lihat adegan orang kampung tak mahu ‘membenarkan orang tv’ buat rakaman Main Puteri kerana ketakfahaman saka,dan lihat di akhir scene, Pok Wah dan dua rakannya menghilang di sepanjang sempadan Bunohan ke dalam gelap untuk mententeramkan semangat. Dan yang paling ketara, bagaimana pinggir pantai dan paya digaris ibarat sempadan yg menjadi tempat bertembung byk perkara (rujuk penerangan atas).



……………………………………………

Filem ini menggunakan sedikit pendekatan Susuk dalam susunan cerita, dan sedikit seperti Gubra dan Songlap dalam pertuturan dialog, dan mirip Perempuan Melayu Terakhir dalam mengangkat budaya dan tradisi. Filem ini ibarat hibrid filem-filem yang aku suka. Jadi, kalau aku cakap filem ini aku tak suka, memang aku pendusta. Tapi, aku akui, filem ini agak berat, dan perlu perhatian penuh untuk menonton. Jadi, apabila scene2 akhir di mana Tengku Azura bercakap laju, dengan nada yang agak kering, ditambah dengan tawa bbrapa penonton2 lain yang mungkin terlupa yang ini adalah panggung wayang filem Bunohan, bukan panggung Istana Budaya untuk Lawak ke Der, aku agak stress sebab aku rasa aku banyak terlepas hint di situ (tak berapa faham dialek pun iya). Tak apa, aku akan tonton filem ini lagi. DEFINITELY. Lagipun tonton sendiri lebih puas. Aku pergi ke pawagam pun, sebab mahu menyokong. Aku tahu, filem2 macam ni, ditonton di pawagam takkan memberikan orgasme buat aku. Ejakulasi pra matang, ya. Tapi, tak apalah. Sekurang-kurangnya ada ereksi berbanding rasa ‘kosong’ bak mati pucuk seperti semasa menonton beberapa filem2 Melayu lain yang telah aku tonton sebelum ini. Jadi nanti aku akan tonton semula, sendiri.

Apabila aku menonton di pawagam 9 Mac lepas, panggung lengang. Dain Said mungkin tak akan tersenyum dengan kutipan filem ini seperti mana Ismail Bob Hashim akan tersenyum dengan kutipan Adnan Sempit 2. Tapi kalau ada sekurang-kurangnya segaris snyum senget di bibir Dain Said utk filem ini, aku lega sebab aku tahu aku ada menyumbang seringgit dua utk senyuman itu, biarpun senyuman itu septutnya jauh lebih lebar.

Tapi aku tak ralat sangat. Sebab aku yakin, nanti malam anugerah, Dain Said tak ada masa lagi hendak tersenyum, sebab dia akan sibuk ketawa.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...